SEJARAH


Pelbagai sistem tulisan yang pernah digunakan oleh bahasa Melayu sepanjang riwayat hidupnya.  Ini dapat dibuktikan daripada tinggalan sejarah dalam bentuk palaeografi dan juga epigrafi. Namun sistem tulisan Jawi adalah yang paling lama dan luas digunakan oleh bahasa Melayu.  Tulisan Jawi telah digunakan dalam manuskrip Melayu sejak abad kesepuluh Masihi sehingga dewasa ini.  Tulisan Jawi adalah tulisan rasmi bagi Negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

                        Tulisan Jawi telah mengalami beberapa tahap pensisteman dalam sejarah perkembangannya.  Tulisan ini bersumberkan tulisan Arab tetapi ditambah lima abjad baru untuk melambangkan lima bunyi bahasa Melayu yang tidak ada dalam bahasa Arab.  Dengan demikian, tulisan Jawi mengandungi 29 abjad Arab dan lima abjad ciptaan Melayu sehingga menjadi 34 abjad semuanya.  Pada tahun 1986 telah ditambah satu lagi abjad untuk melambangkan bunyi v yang berasal dari Eropah.  Penyesuaian dan pembaikan masih lagi difikirkan bagi sistem ejaan Jawi yang disempurnakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.


Sejarah Ringkas Kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu dan Tulisan Jawi

                        Tulisan Jawi telah berkembang sejak zaman kerajaan Islam Pasai.  Tulisan Jawi kemudian disebarkan ke kerajaan Melaka, Johor dan juga Acheh pada abad ke 17.   Tulisan dan skrip Jawi berasal daripada skrip Arab yang sampai ke Kepulauan Melayu bersama-sama dengan kedatangan agama Islam.   Kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu memainkan peranan penting dalam penyebaran agama Islam dan tulisan Jawi.  Mengikut beberapa pendapat kebanyakan pengkaji, skrip Arab mula diadaptasikan sebagai skrip untuk mengeja bahasa Melayu dibuat sesudah abad ke 13 Masihi.

                        Oleh itu, sejarah kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu ada kaitannya dengan tulisan Jawi.  Ini dibuktikan dengan kemunculan tulisan Jawi bersumberkan tulisan Arab/Islam.  Pelbagai teori dan pandangan dikemukakan bagi menguatkan hujah tentang kedatangan Islam.  Para pengkaji barat dan Timur termasuk pengkaji tempatan sendiri seperti Syed Naquib al-Attas, Omar Awang, Fatimi S.Q., Wan Hussin Azmi dan sebagainya menegaskan bahawa kedatangan Islam bukan sahaja membawa agama dan kepercayaan tetapi aspek budaya Melayu yang lain. 

Perkembangan Tulisan Jawi

                        Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat.  Tulisan ini digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan.  Sebagai contoh, tulisan Jawi digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris.  Selain itu Pemasyuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia ditulis dalam tulisan Jawi.  Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British.  Kini tulisan Jawi digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

                        Banyak kajian telah dilakukan tentang perkembangan sistem tulisan Jawi di Kepulauan Melayu yang dijalankan oleh orang Barat.  Mereka berbuat demikian kerana tugas atau ada kaitan dengan keperluan pentadbiran, perniagaan dan agama Kristian.  Ada juga yang melakukannya disebabkan oleh kecenderungan kesarjanaan mereka, iaitu sebagai pembawaan daripada tradisi pengajian yang dialami mereka di Universiti Cambridge, Oxford, Leiden dan lain-lain.

                        Shellabear yang menulis artikel tentang perkembangan ejaan Melayu (Jawi) pada tahun 1901 (the Evolution of Malay Spelling, JMBRAS, 1901,Vol. 36: 75 – 135), telah menyebut dan memberi ulasan terhadap beberapa orang pengkaji Barat yang telah menyelidiki bahasa Melayu, termasuk ejaannya (Jawi).  Antaranya ialah van Rongkel,van Elbinck, Robinson, Gerth v. Wijk, Werndly, van der Wall, Cohen Stuart, de Hollander, van der Tuuk, Pihnappel, Klinkert dan Wilkinson dan Shellabear.  Mereka telah menyuarakan rasa kagum kerana keseragaman ejaan Jawi yang terkandung dalam manuskirp-manuskrip, sebelum kurun ke -17 Masihi yang tertulis di seluruh pelosok Kepulauan Melayu dari Acheh ke Sulawesi.  Beliau telah memberi dua sebab tentang hal itu.  Pertama, kemahiran menulis pada masa itu, hanya dikuasai oleh beberapa orang tukang tulis.  Mereka ini tentu sekali terlatih dalam kaedah penulisan dan dengan itu dapat menjaga keseragamannya.  Kedua, teks pada masa itu tentang agama dan kerajaan, yang ditulis oleh mereka yang terpelajar sahaja. 

                        Satu perkara yang amat menarik yang dinyatakan oleh Shellabear (ibid.: 77-78) ialah orang Melayu menerima sistem tulisan Jawi ini secara langsung daripada orang Arab, dan orang Arablah yang mula-mula menggunakan sistem tulisan Arab untuk menulis bahasa Melayu yang seterusnya terkenal dengan nama tulisan Jawi itu. 

                        Oleh sebab kebanyakan sistem tulisan Arab tidak menggunakan tanda baris, maka penulisan tanpa tanda baris telah menimbulkan kekeliruan dalam bahasa Melayu.  Kekeliruan tersebut berlaku kerana tanda baris bahasa Melayu tidak dapat diramalkan seperti dalam bahasa Arab.  Oleh itu pada awal penggunaan tulisan Jawi, mengikut Shellabear, tanda baris digunakan, termasuklah tanda tasydid.  Tetapi setelah jurutulis-jurutulis sudah biasa dengan ejaan perkataan-perkataan, maka tanda baris itu ditiadakan kecuali;
                        ”... in the cases of unusual words and peculiar derivatives.”

Demikianlah caranya kata Shellabear, bahasa Melayu ditulis dengan tulisan Jawi pada awal abad ke-17 Masihi.

                        Pada tahun 1812 Marsden telah memperkatakan tulisan Jawi dalam bukunya A Grammar of the Malayan Language (London, 1812).  Marsden menyebut tentang 28 abjad Arab (yang sebenarnya 29, iaitu abjad hamzah ”   tidak diambil kira olehnya), yang dipinjam oleh bahasa Melayu dan mencipta enam abjad baru (termasuk    yang kemudian digugurkan).  Marsden menghuraikan penggunaan tiap-tiap abjad dalam perkataan dan menamakan abjad-abjad itu sebagai konsonan seperti halnya dalam bahasa Arab (Marsden, 1812: 14). Tentang vokal, Marsden mengatakan tulisan Melayu juga menggunakan sistem pemvokalan seperti bahasa Arab (ibid.) dengan menggunakan tanda-tanda baris, iaitu atas, bawah, dan hadapan. Marsden juga membincangkan tanda-tanda ortografi dalam tulisan Jawi seperti jezm (tanda mati), tasydid, hamzah, meddah (panjang pendek) dan angka (ibid,:20).

                        Pada tahun 1913, R.O. Winstedt telah memperkatakan ejaan Jawi dalam bukunya Malay Grammar (Oxford, 1913).  Kajian Winstedt tentang ejaan ini jelas berasaskan kajian-kajian terdahulu, terutamanya yang dilakukan oleh Marsden (1812) dan Shellabear (1901).  Oleh itu tidak banyak perkara baru yang diperkatakannya, kecuali tentang tiga teori yang berkaitan dengan penggunaan huruf saksi oleh tukang tulis Jawi yang berpendidikan Arab dan kemunculan penggunaan hamzah ”   (Winstedt, 1913: 41-42).  Selain ejaan Jawi, Winstedt juga telah memperkatakan ejaan Rumi bahasa Melayu (ibid.:43).

                        Di kalangan orang Melayu, Raja Ali Haji ialah tokoh yang mula-mula memperkatakan sistem ejaan Jawi seperti yang tercatat dalam tulisannya Bustan al-Katibin (1267 H./1857 M.)  Huraian Raja Ali Haji tentang ejaan Jawi, sebenarnya merupakan panduan untuk mengenal, menyebut dan menggunakannya dalam bentuk tulisan. 

                        Tokoh Melayu seterusnya yang memperkatakan sistem tulisan Jawi ialah Muhammad Ibrahim, iaitu anak Abdullah Munshi, yang telah menerbitkan Kitab Pemimpin Johor pada tahun 1878 M.  Buku ini juga merupakan panduan tentang kaedah ejaan Jawi.

                        Tokoh Melayu yang mula-mula menganalisis sistem ejaan Jawi dengan bersungguh-sungguh dari segi prinsip dan segala permasalahannya ialah Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) dalam tulisannya yang bertajuk Jawi Spelling (JMBRAS, vol. IV, 1928, hlm. 80-104).  Beliau telah memperkatakan tulisan Jawi dari segi sebab-sebab timbulnya ketidakseragaman ejaan, sistem pemvokalan dalam Jawi, sistem ejaan dalam suku kata terbuka dan tertutup, kepanjangan, tekanan dan intonasi, perkembangan penggunaan abjad   penggunaan abjad-abjad     dan penyebutan serta pengejaan bunyi a pada akhir kata.  Za’ba seterusnya menerbitkan buku Daftar Ejaan Melayu Jawi-Rumi pada tahun 1949.  Beliau juga telah membincangkan kaedah ejaan Jawi dan Rumi dalam buku nahunya yang termasyhur, iaitu Pelita Bahasa Melayu penggal I (1940).

                        Dua orang tokoh Melayu lagi yang pernah memperkatakan ejaan Jawi ialah Raja Haji Muhammad Tahir bin almarhum Murshid Riau yang termuat di dalam bukunya Rencana Melayu (1928).  Seorang lagi tokoh Melayu ialah Mejar Datuk Haji Muhammad Said Sulaiman yang telah menulis buku Buku Katan (1936) dan Panduan Bagi Ejaan PBmPB (1936).

                        Pada tahun 1954, sebuah jawatankuasa penyiasat tulisan Jawi-Rumi dalam Kongres Persuratan Melayu se-Malaya Kedua di Seremban, telah membandingkan sistem tulisan Jawi dan Rumi.  Hasil daripada penyiasatan itu maka disimpulkan (dalam Memorandum Mengenai Tulisan Rumi untuk Bahasa Melayu 1954) 11 kelebihan tulisan Rumi berbanding dengan 12 kelemahan tulisan Jawi, dan satu kelemahan tulisan Rumi berbanding dengan satu sahaja kelebihan tulisan Jawi. 

                        Daripada hasil penyiasatan di atas, maka Angkatan Sasterawan 50 telah mengesyorkan bahawa tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya.  Pengesyoran ini telah diterima oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, di Singapura/Johor Bahru, 1956, sambil mengambil ketetapan membentuk satu badan untuk mengkaji bagaimana hendak memelihara tulisan Jawi dan bagaimana hendak menyamakan ejaan tulisan Jawi di Malaya dan Indonesia. 

                        Dalam tahun 1972, Raja Mukhtaruddin Dain, telah mengesyorkan satu sistem pemvokalan ejaan Jawi melalui penggunaan tanda-tanda baris sepenuhnya dengan mengetepikan penggunaan abjad   ” untuk menandakan bunyi vokal (Raja Mukhtaruddin Dain, 1972: 309-312).  Beliau mengesyorkan tanda baris di atas melambangkan vokal a, tanda baris di bawah melambangkan vokal i, tanda baris di hadapan melambangkan vokal u, dan sebagainya.

                        Pada tahun 1981 Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia di bawah naungan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengesyorkan supaya ejaan Jawi pada masa itu dikaji semula dan diperkemaskan.  Oleh itu, pada tahun 1983, melalui daya usaha Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Mohamad Amin, telah membuat penyelidikan tentang tulisan Jawi yang berjudul Satu Kajian Terhadap Kaedah Ejaan Jawi Za’ba.  Tujuannya adalah untuk mencari data tentang ejaan Jawi bahasa Melayu dengan harapan bahawa data itu akan digunakan sebagai asas untuk menyempurnakan ejaan tersebut. 

                        Bagaimanapun, hasil kajian tersebut telah dibahaskan oleh Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd. Dain dalam artikelnya Laporan Tentang Satu Kajian Kaedah Ejaan Melayu Za’ba yang dibuat oleh Tuan Awang Mohd. Amin dan Haji Hamdan bin Haji Abdul Rahman dalam artikelnya Sistem Ejaan Jawi Bahasa Melayu Bagi Memenuhi Keperluan Masa Depan dalam satu bengkel yang diadakan di  Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan Februari 1983.  Sebagai kesan daripada perbincangan dalam bengkel itu, satu jawatankuasa ejaan Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka, telah dibentuk untuk menyemak sistem tulisan yang ada pada masa itu (khususnya sistem tulisan Jawi Za’ba) dan memperkemaskannya.

                        Sistem ejaan itu dibengkelkan dalam Konvensyen Kebangsaan Tulisan Jawi di Terengganu pada bulan April, 1994.  Sistem ejaan itu diterima oleh konvensyen, dan sebagai natijahnya, pada tahun 1986, diterbitkanlah buku Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Buku ini mengandungi tiga bab, iaitu tentang pengenalan abjad dan huruf, bentuk huruf dan cara penulisan dan kaedah mengeja Jawi.  Pada tahun 1988, Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan pula buku Daftar Ejaan Rumi-Jawi.

                        Di kalangan orang Timur, Kang Keong Seock (1986) dari Korea telah menyiapkan satu kajian berjudul Perkembangan Tulisan Jawi dalam Masyarakat Melayu sebagai satu tesis Sarjana Sastera di Universiti Malaya, yang kemudiannya diterbitkan  oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1990).  Dalam kajiannya, Kang menyentuh tentang sejarah perkembangan tulisan Jawi daripada bentuk Arab kepada Melayu asli dan menghuraikan perkembangan tulisan Jawi.  Kang telah mengesyorkan satu sistem gaya tulisan Jawi yang baharu. Pengesyorannya yang pertama adalah untuk melestarikan prinsip penggunaan baris yang ada pada ejaan Arab bagi bunyi-bunyi vokal pada suku kata tertutup.  Pengesyorannya yang kedua pula adalah bunyi vokal dalam suku kata terbuka mesti dilambangkan oleh abjad vokal yang sebenar.


Penutup

                        Secara ringkasnya tulisan Jawi berkembang dengan kemunculan dan penyebaran akhbar-akhbar dan majalah-majalah Melayu dalam ejaan Jawi dan penubuhan sekolah-sekolah Melayu dan penerbitan buku-buku pelajaran sekolah.  Namun terdapat masalah dalam penyelarasan ejaan Jawi terutama sekali dalam pengejaan diftong dan juga pada persukuan kata tertentu.  Walaupun terdapat kedua-dua buah buku panduan ejaan Jawi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, namun dari segi perlaksanaannya mengambil masa yang lama terutama untuk mengubah sesuatu sistem yang sekian lama wujud dan telah berakar umbi dalam kebiasaan masyarakat Melayu.  Namun setelah tulisan Jawi diketepikan dalam pengajaran di sekolah, maka penggunaanya kini telah merosot.

                        Kesimpulannya pada penghujung tahun 1991, belum ada penyelarasan pada peringkat kebangsaan dalam sistem ejaan Jawi. Syarikat Utusan Melayu dalam terbitan-terbitan yang berbentuk Jawi masih lagi menggunakan sistem ejaan lama misalnya dalam akhbar Utusan Melayu dan majalah Utusan Qiblat.  Begitu juga dengan Bahagian Pendidikan Agama, Kementerian Pendidikan yang menggunakan sistem tulisan Jawi yang berbeza dengan yang dikemukakan Dewan Bahasa.  Ekoran daripada itu, pada tahun 1991, Konvensyen tulisan Jawi anjuran Pusat Islam di Kuala Lumpur telah mewujudkan satu Jawatankuasa Penyelarasan Ejaan Jawi cadangan pembaikan terhadap Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan (PEJYD) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1986/87).

                        Malah dengan perkembangan teknologi canggih, mesin komputer digunakan untuk penggunaan, pembelajaran dan penyebaran tulisan Jawi melalui perkataan (hardware) dan perisian (software) komputer dalam tulisan Arab secara meluas.  Pada 5 Mac 1992, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah melancarkan penggunaan dan penyebaran tulisan Jawi dengan terciptanya al-Bayan Arabic-English Bilingual Wordprocessor Jawi Version di Pusat Islam, Kuala Lumpur.  Untuk meluaskan penggunaan tulisan Jawi, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mengambil prakarsa untuk mengarahkan semua institusi yang berada di bawahnya menggunakan Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan sepenuhnya dalam  penggunaan tulisan Jawi mereka.

                        Akhir sekali seni khat yang terdapat dalam tulisan Jawi terutama dalam pelbagai manuskrip Melayu dari zaman awal hingga abad ke-20 telah mengembangkan lagi tulisan Jawi.  Kebanyakan manuskrip Melayu itu ditulis dalam bentuk khat gaya Naskhi yang dipengaruhi gaya Ta’liq, walaupun pada permulaan kemunculannya ada yang berbentuk gaya Thuluth yang terpengaruh dengan gaya Muhaqqaq dan Raihani.  Pada penghujung abad ke-19 dan abad ke-20, kebanyakan karya dalam tulisan Jawi dicetak dengan mesin dan kebanyakan bentuk khatnya dalam gaya Nashki tetapi judul buku, tajuk, kepala halaman dan sebagainya ditulis dalam pelbagai gaya seperti Thuluth, Ta’liq, Dewani, Riq’ah dan lain-lain.

2 comments: